Selangor TOT United melakar kejutan pada aksi ketiga Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2023 apabila berjaya menundukkan skuad himpunan bintang, Johor Darul Ta’zim (JDT) 3-1 di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam sebentar tadi.

Dengan kedua-dua pasukan mendapat khidmat jurulatih daripada luar negara, aksi yang dipertontonkan jelas berada dalam kelas yang tersendiri.

Penonton yang hadir disajikan dengan permainan pantas dimana pemain kedua-dua pasukan dilihat cukup bernafsu untuk mendapatkan jaringan.

JDT yang menang besar pada aksi sulung berad di hadapan pada ke-11 apabila pemain kebangsaan, Awalluddin Mat Nawi melakukan ‘turning’ dan kemudiannya melepaskan rembatan untuk
menewaskan penjaga gol Selangor TOT United, Alif Haiqal.

Selangor TOT United selepas itu turut mendapat beberapa peluang terbaik untuk mendapat jaringan penyamaan tetapi penjaga gol JDT, Azrul Hadee Mohd Taufik.

Jaringan yang dinantikan skuad kendalian Patt Sriwijit itu hadir pada minit ke-27 selepas Wan Abdul Raziq Wan Zulhasmi menyudahkan peluang hasil serangan balas pantas untuk kembali mengikat kedudukan.

Gol tersebut jelas menyemarakkan lagi api perjuangan para pemain Selangor TOT United yang menambah jaringan kedua pada minit ke-32 menerusi Joshua Lee Chia Chen susulan kecuaian hantaran pemain JDT.

Tidak sampai seminit, Helio Neto pula menambah kedukaan JDT selepas beliau merampas bola daripada kaki Abdul Rahman Sarani untuk menjadikan kedudukan 3-1.

JDT cuba untuk bangkit dengan menerapkan taktikal ‘Power Play’ tetapi para pemain JDT yang diketuai Yazid Kamaruzuan kental bertahan untuk mengesahkan kemenangan penting tersebut.